Selasa, 20 Oktober 2015

APA ITU PINJAMAN PERIBADI?

Pembiayaan peribadi adalah Kemudahan Pembiayaan Kewangan dengan pembayaran balik pada jumlah yang tetap setiap bulan bagi sesuatu tempoh yang telah ditetapkan. Pemohon yang mendapat kelulusan Pembiayaan akan memperolehi wang secara tunai dan kadar faedah yang lebih rendah daripada kad kredit.
    Dari segi istilah Islam pula, Pembiayaan bermaksud memberikan manfaat sesuatu benda yang halal kepada orang lain dengan tidak menjejaskan atau merosakkan zat (hakikat) benda itu supaya dapat dikembalikan kepada pemiliknya. Manusia secara semulajadinya mempunyai kemahuan untuk mendapatkan sesuatu tetapi kadang kala mereka tidak mempunyai keupayaan untuk memilikinya. Justeru, Islam mengharuskan manusia berikhtiar untuk mendapatkan sesuatu yang dihajati dengan kaedah Pembiayaan. Keharusan islam terhadap pembiayaan adalah tertakluk kepada rukun dan syarat yang tertentu;
·         Orang yang menyediakan pembiayaan
·         Orang yang meminjam
·         Barang yang dipinjamkan
·         Lafaz (aqad)
     Kesimpulannya, Islam sebagai sistem hidup yang lengkap dan sempurna telah mengetengahkan satu bentuk ekonomi dan kewangan yang ideal demi menjamin keuntungan individu dan masyarakat secara serentak. Pelaksanaan sistem ekonomi Islam secara sepenuhnya membawa kearah keamanan dan keadilan sosial. prinsip pegangan dalam ekonomi Islam ialah Allah (s.w.t) sebagai empunya mutlak segala harta kekayaan, manusia pula bertindak sebagai pihak pengusaha yang menjalankan amanah dengan baik , mengamalkan dasar terbuka, tolong-menolong dan bekerjasama dalam masyarakat. Pelaksanaan sistem ini lebih penting lagi menjauhkan manusia dari kemurkaan Allah (s.w.t) dan penyakit hati seperti dengki, khianat, pergaduhan dan kezaliman yang kesannya akan merugikan umat Islam sendiri secara keseluruhannya. 

Khamis, 15 Oktober 2015

PERBANKAN ISLAM DAN PERBANKAN KONVENSIONAL

Ilmu perbankan adalah antara salah satu daripada cabang ilmu Islam. Ilmu Islam terbahagi kepada tiga secara umumnya, akidah, syariah dan akhlak. Dan di bawah syariah, terdapat ilmu yang berkaitan dengan ; ibadat, jinayat, munakahat (berkaitan pernikahan dan kekeluargaan) dan muamalat (ada fuqaha yang menggabungkan munakahat dan muamalat).
     Maka skop kita di Malaysia, kita boleh bandingkan antara dua perbankan ini, iaitu :
  1. Perbankan Konvensional
  2. Perbankan Islam

Jadi, apakah bezanya?
Perbezaan Sistem Kewangan Islam dan Konvensional boleh dilihat kepada konsep dan operasi. Konsep Kewangan Islam merujuk kepada prinsip-prinsip syariah yang bebas daripada unsur-unsur yang dilarang seperti riba, gharar (keraguan), maisir (judi), tadlis (penipuan), penindasan, ketidakadilan, memonopoli harta dan sebagainya. Manakala konsep sistem kewangan konvensional pula adalah sebaliknya.
Dari sudut operasi pula, Sistem Kewangan Islam adalah berteraskan akad yang telah dipersetujui oleh Syarak seperti Bai’ Bithaman Ajil (BBA), Wadi’ah, Mudarabah, Musyarakah dan sebagainya. Manakala sistem kewangan konvensional pula operasinya adalah tidak berteraskan akad-akad yang sah dari sudut Syarak dan kebanyakkannya terlibat dalam sistem pinjaman yang berteraskan riba.
Mari kita lihat dari satu sudut yang amat jelas perbezaannya iaitu RIBA. Apa pula itu RIBA? Riba dari sudut bahasa bermaksud bertambah dan berkembang. Dari sudut istilahnya ialah menurut kajian Dr. Zaharuddin Abdul Rahman di dalam bukunya "Wang anda & Islam : Halal dan haram dalam kewangan dan  perbankan" :
الزيادة في اشياء خاصة والزيادة على الدين مقابل الاجل مطلقا
Ertinya : "Sebarang penambahan dalam barangan tertentu (ribawi) dan tambahan di atas hutang akibat penangguhan tempoh"
Riba adalah antara amalan yang dijalankan di dalam perbankan konvensional. Itulah yang membezakan ia dengan bank Islam. Sumber pendapatan bank konvensional adalah melalui amalan RIBA atau faedah atau interest. Dan bank Islam telah menolak konsep riba daripada diamalkan di dalam sistem perbankan Islam. Dan sesusungguhnya Allah telah mengharamkan riba melaui firmannya :
 واحل الله البيع وحرم الربا

Maksudnya : "...dan Allah telah menghalalkan jual beli dan telah mengharamkan riba..." (surah al-Baqarah : 275)
Namun, sangat dukacita kerana ramai di antara kita yang masih memandang remeh tentang RIBA. Banyak agama lain turut mengharamkan riba kerana ketidakadilan dan menindas penggunanya. Moga kita sama-sama menjauhkan diri daripada amalan keji ini. Di bawah ini, saya tujukan beberapa perbezaan bank konvensional dan bank islam secara ringkas. Moga membantu.
  1. PERBEZAAN ANTARA BANK KONVENSIONAL DAN BANK ISLAM 
Perbankan Konvensional
Perbankan Islam
Fungsi dan operasinya didasari oleh prinsip yang dicipta oleh akal manusia “man-made principles”.
Fungsi dan operasinya dipastikan sebaik mungkin untuk mengikut prinsip Al-Quran dan As-Sunnah.
Mengamalkan sistem pemberian pinjaman wang kepada pelanggan dengan dikenakan faedah (interest) yang berganda.
Mengamalkan transaksi jual beli atau sewa asset, bukan akad pinjaman wang.
Dalam produk pelaburannya, pelabur dijanjikan dengan kadar faedah tetap.
Dalam produk pelaburannya, pelabur dan bank Islam akan berkongsi untung rugi, tiada kadar keuntungan yang tetap.
Mensasarkan keuntungan tanpa sebarang had batasan agama dan moral.
Mensasarkan keuntungan berdasarkan prinsip Islam dan menjaga manfaat masayarakat sejagat.
Mengenakan tambahan wang penalti ke atas pinjaman jika lambat bayar.
Mengenakan wang compensation ke atas kelewatan tapi wang itu tidak dimasukkan ke dalam pendapatan bank, sebaliknya disalurkan terus kepada kebajikan.
Memperoleh pendapatan melalui kadar tetap faedah (fixed interest) yang dikenakan kepada pelanggan. Jelas bahawa ia adalah RIBA.
Memperoleh pendapatan melalui konsep kongsi untung dan rugi bersama pelanggan.
Tidak melibatkan pembayaran zakat.
Melibatkan dan menyediakan proses pembayaran zakat.
Hubungan bank dan pelanggan adalah pemberi pinjam dan peminjam.
Hubungan bank dan pelanggan adalah penjual, pembeli atau rakan kongsi.

Selasa, 6 Oktober 2015

APA ITU ASB??


Amanah Saham Bumiputera (ASB) merupakan dana unit amanah untuk Bumiputera Malaysia yang perlu dimiliki. Akan tetapi, bukan semua orang memahami ASB dan apakah yag menjadikan ASB begitu menarik.

Apakah Amanah Saham Bumiputera (ASB)?
ASB telah dilancarkan oleh Amanah Saham Nasional Berhad pada 2 Januari 1990 untuk semua Bumiputera Malaysia. Objektif dana ini adalah untuk menyediakan satu cara simpanan alternatif bagi Bumiputera. Ia bertujuan untuk menjana pulangan jangka panjang yang konsisten dan berdaya saing untuk pelabur-pelabur. Oleh itu, ASB telah direka sebagai harga dana pendapatan ekuiti tetap di mana harga seunit untuk dana itu ditetapkan pada RM1.00 serta tiada caj jualan dan yuran penebusan unit dikenakan.
ASB mempunyai had input sehingga RM200,000 di mana pelabur hanya boleh meningkatkan jumlah pelaburan mereka sehingga had input itu. Walau bagaimanapun,dana ini tidak mempunyai had atas nilai akaun. Oleh itu, perolehan modal yang disimpan dalam akaunASB adalah dibenarkan untuk menyebabkan jumlah dalam akaun melebihi RM200,000. Pelabur adalah bebas untuk menentukan jumlah untuk melabur pada bila-bila masa sahaja, serta boleh top-up atau melanggan unit tambahan melalui agen ASB berkenaan.
Jadual pulangan bagi tahun 1990 hingga 2012.
Dividen ASB diedarkan pada setiap tahun tetapi dikira secara bulanan berdasarkan jumlah minimum setiap bulan, selain daripada modal yang dijamin, ASB tidak pernahmemberi pulangan di bawah 8.5% setahun. Di sebelah menunjukkan jadual pulangan bagi tahun 1990 hingga tahun 2012. dan ini adalah salah satu yang dapat menarik melabur.

Dimana Untuk Membeli Dana ASB?
 Terdapat dua jenis ejen yang diberi kuasa di mana anda boleh membeli ASB. Pertama bank, dan kedua bukan bank. Ejen bank untuk dana ini adalah seperti:
1. Maybank.
2. RHB.
3. CIMB.
4. AffinBank.
Hanya satu ejen bukan bank iaitu Pos Malaysia.
Hari ini, kebanyakan agen bank-bank melanjukkan service perbankan internet untuk pelaburan ASB bagi menambah atau melanggan lebih banyak unit untuk pelaburan ASB mereka. Para pelabur juga dibenarkan untuk membuat pelaburan bagi akaun ASB pihak ketiga melalui perbanan dalam talian.
Sebagai satu-satunya agen bukan bank, Pos Malaysia menjadi rakan kongsi dengan beberap bank untuk menawarkan Shared Banking Service (SBS) di kebanyakkan kedai Pos Niaga. Malah, pelabur boleh menyemak status kelulusan permohonan dana ASB melalui perkhidmatan kiosk dalam kedai PosNiaga di seluruh Malaysia.

Kesimpulannya ASB sangat menarik dan diterima oleh semua Bumiputera dek kerana risikonya yang rendah dan dividen yang tinggi dan memberikan bonus tambahan kepada pelabur.
SB telah dilancarkan oleh Amanah Saham Nasional Berhad pada 2 Januari 1990 untuk semua Bumiputera Malaysia. Objektif dana ini adalah untuk menyediakan satu cara simpanan alternative bagi Bumiputera Malaysia. Ia bertujuan untuk menjana pulangan jangka panjang yang konsisten dan berdaya saing untuk pelabur-pelabur. Oleh itu, ASB telah direkakan sebagai harga dana pendapatan ekuiti tetap di mana harga seunit untuk dana itu ditetapkan pada RM1.00 serta tiada caj jualan dan yuran penebusan unit dikenakan.
ASB mempunyai had input sehingga RM200, 000 di mana pelabur hanya boleh meningkatkan jumlah pelaburan mereka sehingga had input itu. Walau bagaimanapun, dana ini tidak mempunyai had atas nilai akaun. Oleh itu, perolehan modal yang disimpan dalam akaun ASB adalah dibenarkan untuk menyebabkan jumlah dalam akaun melebihi RM200, 000. Pelabur adalah bebas untuk menentukan jumlah untuk melabur pada bila-bila masa sahaja, serta boleh top-up atau melanggan unit tambahan melalui agen ASB berkenaan.
Dividen ASB diedarkan pada setiap tahun tetapi dikira secara bulanan berdasarkan jumlah minimum setiap bulan, selain daripada modal yang dijamin, ASB tidak pernah memberikan pulangan di bawah 8.5% setahun

Selasa, 29 September 2015

SAHAM DAN STRATEGINYA UNTUK MELABUR



Saham merupakan pecahan, bahagian, atau peruntukan yang tertentu dari satu jumlah pemilikan. Saham juga biasanya dikaitkan dengan pemilikan mutlak oleh syarikat sebagai sebuah entiti ekonomi yang kekal. Ramai lagi yang masih tidak tahu tentang Pelaburan Saham. Rata-rata mengganggap yang ianya sebagai satu pelaburan yang akan menyebabkan kerugian. Ya memang benar, ianya akan mengalami kerugian apabila melabur tanpa ilmu. Terdapat pelbagai masalah yang dihadapi oleh pelabur baru dalam pelaburan saham antaranya: 
  1. Tidak tahu langsung apa itu saham sedangkan ia sudah wujud hampir 100 tahun di Malaysia.
  2. Takut akan alami kerugian yang besar.
  3. Tidak tahu mahu mula melabur di syarikat yang mana.
  4. Anggap pelaburan saham memerlukan modal besar hingga puluhan ribu ringgit.
  5. Menganggap pelaburan saham untuk orang kaya sahaja sedangkan ASB & Tabung Haji juga melabur di kaunter Bursa Malaysia.
  6. Takut nak buka akaun saham & anggap ia macam susah jer!
Oleh yang demikian, di sini saya tegaskan bahawa dalam membahagikan kewangan secara cekap cara terbaik adalah dengan memikirkan jangkaan pada masa yang akan datang. Oleh itu, kita perlu melabur sedikit demi menampung kewangan pada masa hadapan agar tidak terus terjatuh maka pelaburan saham adalah jalan yang boleh di pilih demi masa hadapan yang gemilang. Sebelum memulakan pelaburan anda,saya nasihatkan agar mencari ilmu dahulu sebelum memulakan sesuatu tindakan. Di sini saya rungkaikan bagaimana strategi pelaburan dan pada waktu bila perlunya melabur.

Terdapat pelbagai strategi yang boleh di ambil sekiranya saham itu berlaku dalam pelbagai situasi. Di sini, saya hanya merungkai sekiranya saham itu berlaku dalam situasi yang tidak menentu. Strategi pertama yang perlu di lakukan adalah mengkaji saham di pasaran dan mengelaskannya kepada beberapa bahagian seperti berikut :
  1. Saham mewah. Iaitu saham yang merekodkan pencapaian yang cemerlang. Saham ini melambangkan mutu dan nilainya walaupun ia tidak begitu mahal. Sebagai contoh Sime Darby, Telekom, dan Blue chip.
  2. Saham pertumbuhan. Ini ialah saham yang mempunyai potensi peningkatan nilai. Syarikat sebegini berkembang dengan pesat dalam jualan dan keuntungannya. Biasanya kadar perkembangannya lebih pesat daripada kadar perkembangan ekonomi. Sebagai contoh, Sapura, Shapadu dan Hicom.
  3. Saham bertahan. Saham ini ialah saham yang dapat bertahan daripada kemelesetan atau sebarang kesan negatif kitaran ekonomi. Sebagai contoh, syarikat yang berasaskan kepada makanan dan minuman.
  4. Saham berkitar. Iaitu saham yang harganya turun naik mengikut keadaan ekonomi semasa sama ada ekonomi dalaman ataupun ekonomi luaran. Sebagai contoh sahamnya ialah syarikat UMW, YTL dan Bandar Raya umpanya adalah dikelaskan dalam saham seperti ini.
  5. Saham spekulatif. Iaitu saham yang tidak menunjukkan susunannya yang teratur. Saham seperti ini biasaya di pengaruhi oleh sentiman pasaran atau kegiatan stokis yang membuat pasaran palsu ke atasnya. Ianya juga menjadi turun naik adalah di sebabkan berita angin yang di sebarkan di pasaran.
Strategi melabur perlulah disesuaikan dengan jenis saham di atas dan matlamat pelaburan kita. Saham mewah adalah untuk golongan pelabur yang memerlukan pulangan dalam bentuk dividen yang mantap dan berterusan. Secara umumnya golongan bumiputera adalah lebih baik melabur dalam amanah saham untuk mendapatkan pulangan dividen yang kukuh dan berterusan. Saham berkitar pula saham yang baik di laburkan oleh golongan profesional dan mereka mempunyai peluang untuk kemaskini tentang pasaran ekonomi Malaysia dan ekonomi luar negeri serta dapat memproses bagi menjangkakan arahnya. 
Kesimpulannya, sebagai strategi umum kepada pelabur kecil, kita perlulah mula dengan membeli satu set buku laporan tahunan syarikat keluaran pasaran saham. Kita kemudian perlulah menganalisis setiap syarikat dan cuba mengelaskan syarikat-syarikat yang tersenarai kepada lima kelas tersebut. Setelah mengkelaskannya kita perlulah menganalisis kewangan mereka. Analisis yang utama ialah analisis perundingan harga pasaran dengan keuntungan syarikat. Angka ini akan menjadi faktor utama dalam pemilihan saham dan penentuan pasaran untuk melabur.

Isnin, 21 September 2015

TAKAFUL DAN INSURANS

Selain mengetahui perancangan perniagaan, kita haruslah memahami berkenaan insurans dan takaful. Hal ini kerana, jika kita masih lagi tidak mengamalkan penabungan  atau menguruskan kewangan dengan bijak maka cara kedua terbaik adalah dengan menceburi polisi takaful atau insurans. Ini kerana, dengan adanya insurans atau takaful, anda akan dapat melindungi diri daripada perkara di luar jangkaan. Sebelum memasuki apa-apa polisi insurans dan takaful ini, kita seharusnya mengetahui apakah perbezaan di antara kedua ini dan apakah hukum di sebalik apa yang kita telah masuki.

Pening untuk memilih takaful atau insurans??
okay jom!!! mari kita kupas. =)

Insurans am merupakan polisi insurans yang melindungi anda daripada sebarang kerugian atau kerosakan yang ditanggung, selain daripada risiko yang dilindungi insurans hayat. Manakala takaful pula ialah saling menjamin, berasal dari perkataan Arab - kafala. Konsep takaful bertujuan mengalakkan tolong menolong dan perpaduan di kalangan para peserta selari dengan konsep ta'awun. Dalam Islam, menolong atau menyediakan bantuan amatlah digalakkan. Di sini terdapat perbezaan yang ketara di antara takaful dan insurans.


Konsep yang digunakan dalam produk insuran konvensional ni mudah dan boleh diterangkan dalam beberapa point di bawah:
  1.  Pemegang polisi bayar premium kepada syarikat insuran. Semua duit dipegang oleh syarikat insuran.
  2.  Syarikat insuran akan laburkan duit kutipan premium ni tadi ke mana sahaja yang mereka rasakan sesuai. Objektif adalah untuk mendapatkan keuntungan maksimum. Bila keuntungan diutamakan, status pelaburan samada halal atau tidak ditolak tepi.
  3. Lebihan keuntungan pelaburan tadi adalah kepunyaan syarikat insuran.
  4. Syarikat insuran akan membayar tuntutan daripada pemegang polisi berdasarkan plan yang diambil.

Konsep takaful diterangkan seperti di bawah:
  1.  Pemegang polisi menyumbang ke dalam tabung takaful. Sebahagian daripada bayaran sumbangan bulanan dibayar kepada syarikat pengendali tabung takaful dan bayaran ini dikenali sebagai fi wakalah.
  2.  Bayaran fi wakalah jelas dan nyata dan tiada bayaran lain yang tersembunyi. Dalam dokumen polisi anda ditunjukkan berapa fi wakalah yang anda bayar sehingga tempoh matang polisi anda.
  3. Sumbangan yang terkumpul di dalam tabung takaful akan dilaburkan dalam instrumen patuh syariah. Walaupun matlamat pelaburan ini adalah untuk mendapatkan pulangan yang maksimum, status pelaburan sentiasa dipantau oleh panel syariah yang dilantik oleh syarikat pengendali takaful.
  4.  Pulangan daripada pelaburan tabung takaful dipulangkan semula ke dalam tabung ini.
  5. Mana-mana lebihan daripada tabung takaful akan diagihkan semula kepada pemegang polisi.
  6. Mana-mana tuntutan perubatan pemegang polisi akan dibayar menggunakan dana yang dikumpulkan dalam tabung takaful tadi. Pembayaran tuntutan adalah berdasarkan konsep derma / tolong-menolong. 
Setelah mengetahui perbezaan di antara keduanya. Mari saya tunjukkan lagi apakah hukum seandainya kita memasuki polisi insurans atau takaful ini menurut kepada ustaz Zaharuddin Abd Rahman. Beliau berkata, terlalu ramai yang tidak mengetahui perbezaan di antara insurans dan takaful sehinggakan ada timbul dakwaan bahawa takaful menjalankan polisinya sama seperti insurans yang mempunyai unsur riba. Maka jawapan ustaz tersebut, beliau berkata jawapannya mudah syarikat-syarikat takaful telah mengubah aqadnya daripada 'Mu'awadah Maliah' kepada Tabbarru'at(kontrak derma). Sebagai contoh apabila anda memberikan hadiah kepada seseorang, adakah menjadi syarat agar anda memberitahu kepadanya berapa jumlah yang anda beri? jawapannya sudah tentu tidak menjadi syarat. Ini kerana, ia adalah sumbangan baik dari satu pihak.
kesimpulannya, perubahan dari aqad yang mengandungi ciri jual beli yang diamalkan oleh Insurans konvensional menjadikan bermasalah dari sudut syariah. Ini berbeza dengan yang digunakan oleh takaful yang menggunakan aqad derma (tabarru') atau (wakalah).

Khamis, 17 September 2015

PENGURUSAN KEWANGAN

Setiap individu mengiginkan keselesaan dalam kedudukan kewangan mereka. Oleh itu, untuk mencapainya seseorang itu perlulah mempunyai suatu sistem perancangan kewangan atau sistem pengurusan kewangan yang berkesan agar perbelanjaan dapat diuruskan dengan baik. Sesiapa sahaja yang menguruskan pendapatannya dengan bijak maka, kedudukan kewangan pasti akan berada dalam keadaan baik dan stabil. Oleh itu,setiap individu haruslah menguruskan sistem kewangannya dengan bijak agar memudahkannya pada masa yang akan datang. hal ini kerana tindakannya pada hari ini akan mengakibatkan kesannya di masa yang akan datang. Bagi yang tidak bijak menguruskan kewangan mereka akan mudah menjadi muflis.Hal ini di buktikan lagi dengan sumber berita harian pada 16 september 2014 (Selasa).Yang menunjukkan purata 68 individu yang muflis setiap hari akibat daripada ketidakbijaksanaan pengurusan kewangan mereka.

Terdapat pelbagai cara yang mengakibatkan pengurusan kewangan itu tidak stabil antaranya ialah berbelanja secara berlebihan. Ramai di antara kita yang sering berbelanja secara berlebihan sehingga tidak menghiraukan kehendak dan kepentingan. Sikap masyarakat yang tidak membuat perancangan ketika pembelian akan mengakibatkan pembaziran yang ketara terutamanya ketika musim perayaan. Selain itu, caraya juga ialah tiada simpanan tetap untuk sara dirinya di masa yang akan datang. Hal in kerana, individu itu sendiri yang tidak merancang masa hadapannya yang lebih baik. Bak kata pepatah melayu "meluntur buluh biarlah dari rebungnya", pepatah ini menegaskan bahawa setiap perbuatan yang kita lalukan haruslah sudah menjadi amalkan sejak kecil lagi. Maka, ibu bapa juga amat memainkan peranan penting bagi mendidik anak-anak mereka dalam menguruskan kewangan di masa yang akan datang.

Kesan daripada cara pengurusan kewangan yang tidak stabil maka timbullah keburukannya. Di sini saya menegaskan bahawa pengurusan kewangan amat lah penting bagi setiap individu. Hal ini demikian kerana seandainya tidak ada pengurusan kewangan yang stabil maka timbullah tekanan perasaan. hal ini kerana, masyarakat atau individu itu sendiri yang akan sentiasa dalam keadaan rungsing. Perkara ini adalah di sebabkan seseorang itu sering tiada wang dan akhirnya boleh membawa kepada gejala yang tidak sihat seperti peras ugut, merompak dan yang lebih serius adalah membunuh diri. Selain itu,sekiranya individu atau masyarakat itu tidak menguruskan kewangan mreka dengan baik, maka akan timbulnya masalah rumah tangga. Hal ini kerana, suami isteri sering bertengkar berkenaan kesempitan kewangan untuk menjelaskan sewa rumah, bil-bil, keperluan hidup dan sebagainya dan akhirnya sehingga membawa kepada kes penceraian.

 Kesimpulannya, pengurusan kewangan amatlah penting dalam kehidupan. Bukan kerana kita ingin menjadi hamba duit tetapi dalam meneruskan hidup kita perlukan duit. Disini, saya sertakan sedikit tips yang boleh di jadikan amalan kehidupan dalam berbelanja. Antaranya, sikap menabung bak kata pepatah dahulu biar sikit lama-lama jadi bukit. Hal ini menegaskan bahawa sungguhpun kita menyipan pada kadar yang sedikit setiap hari tanpa putus, ia juga akan dpat menolong kita di waktu kesusahan. Selain itu, ambil sedikit masa dalam 15minit untuk mencatit apa yang harus di beli mengikut kepentingan bukannya kehendak. Tips seterusnya ialah anda perlu tahu kemana matlamat kewangan itu perlu di salurkan sebagai contoh, digunakan untuk sambung pengajian, perubatan ibu sakit dan sebagainya. Dan tips yang terakhir ialah, rancang perbelanjaan dari permulaan dapat gaji, fikir ke hadapan apa faedahnya jika beli itu dan ini. Sebagai contoh, melabur emas dan kita akan mendapat untungnya di kemudian hari. hal ini kerana harga emas akan meningkat maka pulangan kita akan berganda. Sekian~